Gelarlah Apa Pun UMNO Tetap Bangkit – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO tetap bangkit biarpun digelar dengan pelbagai gelaran malah bangkit bukan kerana ubatan mujarab.

Ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di adakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kerana ia kehendak ‘kluster’ tertentu dalam UMNO.

“Menteri Besar Johor mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baharu dan itu bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

“Beliau diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai keadaan dan keperluan, bagi pembubaran DUN,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Bidasnya, menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah.

“Untuk makluman istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja. UMNO bukan seperti parti lain. Tiada ‘wala’ kepada Presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

“Bila UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin, cuma hanya 12 Ahli Parlimen UMNO sahaja yang akur. Demikianlah demokratiknya UMNO.

“Bagi mereka yang menggelar UMNO dengan pelbagai gelar, itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.”

Terangnya, UMNO masih lagi parti Melayu terbesar, malah parti politik terbesar di Malaysia.

“Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS, tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO , dan kerana buruknya prestasi kerajaan PH dan PN.

“Tanpa UMNO, PAS juga tidak boleh menjadi sebahagian dari Kerajaan persekutuan hari ini. Dan PAS tahu, tanpa UMNO ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam Kerajaan persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika PAS merasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkan lah kepada rakyat untuk memutuskannya. Dan biarlah rakyat juga memutuskan samada PAS dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” katanya lagi yang juga Pengarah PRN Johor.

Dilaporkan, Sabtu lepas (22 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online