BN Tidak Gentar Berdepan Cabaran Pastikan BN Menang

PONTIAN, 30 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan UMNO mengajak anggota parti terus bekerja bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa gentar untuk berdepan dengan pelbagai cabaran.

Ujarnya, dalam melihat situasi politik terkini, ia telah diduga termasuklah kaedah gabungan antara Pas, PPBM, Gerakan dan Star yang akan bertanding atas logo Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perkara itu bukannya memeranjatkan kepada UMNO/BN kerana ianya memang sudah menjangka apabila berhadapan dengan PN.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh jentera UMNO/BN, PBRS dan Friends of BN serta para jentera kita supaya berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan kemenangan akan berpihak kepada UMNO/BN di PRN Johor.

“Kita berharap agar segala usaha yang telah dilakukan diperingkat bahagian-bahagian diteruskan dan dilipatgandakan sehingga mengetahui tarikh penamaan calon, undi awal dan tarikh pengundian.

“Jangan pula merasa selesa sebab sudah menang besar di PRN Melaka. Mungkin senario di Melaka ada sedikit perbezaan, walau bagaimanapun kemenangan di Melaka itu menjadi motivasi kepada UMNO/BN bahawa UMNO boleh memenangi mana-mana PRN dan mana-mana PRK jika bekerja keras,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata PH sekarang ini sudah berpecah kerana adanya parti yang mahu gunakan logo sendiri berbanding sebelumnya.

“Ini satu perkara yang menarik apabila PH berpecah dari segi logo. Satu menggunakan logo PKR dan satu lagi menggunakan logo PH.

“Apabila mereka sudah berpecah ia menunjukkan tiada kesepaduan yang dikatakan sebelum ini. Apa yang berlaku di Melaka akan berulang kembali di Johor dan UMNO bersedia menghadapinya,” ujarnya.

Tambah Ahmad, negara ini adalah negara demokrasi tentunya parti Pejuang dan Muda mahu bertanding pada PRN Johor.

“Terpulang kepada mereka sama ada mahu bertanding atau tidak, yang penting kuatkan parti UMNO/BN bagi menghadapi PRN Johor,” ujarnya lagi. – UMNO Online