PRN Johor: Optimis Sokongan Rakyat, Teruskan Usaha Kembalikan BN Pentadbir Negeri – Ahmad

JOHOR BAHRU, 21 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis untuk Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pandangan itu berdasarkan pemerhatian beliau ketika melakukan kunjungan ke UMNO bahagian Pasir Gudang bagi melihat persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

“Pertemuan saya dengan UMNO Bahagian Pasir Gudang untuk DUN Permas dengan MCA Bahagian untuk DUN Johor Jaya.

“Terima kasih Ketua Bahagian yang juga mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang banyak jasanya. Ada peluang yang baik kepada pada BN. Tiada yang mustahil.

“Persiapan yang rapi sedang dibuat untuk menawan kedua-dua DUN itu dengan bantuan UMNO Sabah. Ada peluang yang baik,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu sebelum ini melakukan beberapa siri kunjungan ke UMNO bahagian Labis, Sekijang, Mersing, Kota Tinggi, Tebrau,Tenggara, Kulai, Pengerang, Ledang, Muar, Bakri dan beberapa bahagian lain.

Beliau sebelum ini juga berkata momentum sokongan rakyat Johor kepada UMNO dan BN untuk mentadbir kembali negeri ini juga sangat tinggi.

“Apa yang saya dapati bahawa semangat jentera untuk mengembalikan BN memerintah negeri Johor ini sangat tinggi dan mereka ada keyakinan.

“Bagaimanapun saya menyatakan pada mereka untuk teruskan usaha-usaha dan jangan terlalu yakin namun kita harap mereka terus dibantu oleh negeri angkat memantapkan jentera pilihan raya,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, tarikh penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online