Buat Keputusan Bijaksana, Berikan Mandat Pada BN… Ada ‘Track Record’ – Mohamad Hasan

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan merayu kepada semua pengundi Johor agar membuat keputusan bijaksana dalam memilih menubuhkan sebuah kerajaan baharu untuk lima tahun akan datang.

Ujarnya, BN telah pun menunjukkan prestasi, ada ‘track record’ dan tidak ada parti lain yang boleh rakyat Johor berikan mandat semula.

“Jadi 12 hari bulan saya mintak semua rakyat Johor, pengundi di Johor keluarlah ramai-ramai, berikanlah mandat kepada Barisan Nasional untuk kami menubuhkan kerajaan untuk mengurus negeri Johor dengan sebaik yang mungkin, insya-Allah.

“Saya nak merayu kepada semua pengundi Johor buatlah keputusan yang bijaksana, keputusan untuk memilih menubuhkan sebuah kerajaan yang baru untuk lima tahun akan datang.

“Seperti saya sebut, Barisan Nasional telah pun menunjukkan prestasi, kita ada ‘track record’. Tidak ada parti lain saya rasa yang boleh rakyat Johor berikan mandat semula,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya menjelang hari pengundian esok.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa kestabilan yang disajikan BN ada asasnya dan asas itu mesti kuat.

“Kestabilan sebuah negara menjadi asas kepada segalanya. Kalau negara stabil, kerajaan dia stabil, maka kerajaan akan dapat menumpukan sepenuh tumpuan untuk mengurus negara dengan baik.

“Rakyat akan rasa tenang, tidak sentiasa saja merasa gundah-gulana. Rakyat tenang hidup dalam sejahtera. Ekonomi akan baik. Rakyat tempatan, pengusaha tempatan dan pengusaha luar negara akan mengeluarkan modal dan melabur di tempat kerajaan yang negerinya dan kerajaan negaranya stabil.

“Rakyat hidup dalam keadaan tenteram sejahtera dan perkara yang penting nya, faktor luaran orang melihat negara kita ini negara yang stabil.”

Jadi, katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, rakyat yang akan dapat manfaatnya.

“Bila negeri atau negara dapat banyak pelaburan, ekonomi meningkat. Peluang pekerjaan baru khususnya untuk anak-anak muda akan banyak. Pendapatan negara dan rakyat akan dapat ditingkatkan.

“Itu tujuan dan asas mengapa kestabilan itu kunci kepada segala-galanya,” katanya lagi. – UMNO Online