Bulatkan Tekad Undi BN… Jangan Lupa Janji Manifesto PRU14 Tak Ditunai – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diharap akan membulatkan tekad dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian yang bakal berlangsung esok, Sabtu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa rakyat tentunya masih tidak lupa lagi kepada parti-parti yang berjanji tetapi tidak menunaikan manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hinggakan rakyat tertipu lalu memilih kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang salah.

“Saya harap pada 12hb kita membulatkan tekad mengundi BN. Saya bagi pihak Presiden UMNO dan kepimpinan BN merayu kepada tuan-tuan, saudara saudari agar kita tidak melupakan segala janji palsu mereka dan tidak lupa keadaan kelam-kabutnya negeri dan negara selepas PRU14, maka jangan kita ulangi memilih mereka pada 12hb ini.

“Pilihlah BN kerana telah terbukti BN yang membangunkan negeri dan negara, malah dalam BN kita berlaku adil kepada semua kaum dan kerana itulah UMNO bertanding 37 kerusi, MCA masih 15 kerusi dan empat kerusi untuk calon MIC. Pilihlah calon-calon BN,” katanya dalam perutusan menyeru pengundi menjelang hari pengundian esok.

Tegas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, BN telah terbukti mampu menjadikan Johor sebagai negeri paling maju antara negeri-negeri utama malah ia pernah berlaku sebelum ini.

“Tapi semua itu telah diranapkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya sekarang menjadi Pejuang, Perikatan Nasional (PN), Amanah, Dap dan PKR dan ada juga Muda. Semua mereka itu sekeluarga menipu manifesto pada PRU14 hingga akhirnya negeri Johor jatuh.

“Kerana itu sehingga kini mereka tak boleh nak menamakan calon menteri besar (MB) yang bererti mereka tak ada calon dan tak ada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan atas janji-janji mereka.

“Mereka adalah sekumpulan parti politik yang tidak boleh memilih satu orang sebagai MB bagi melaksanakan janji-janji rakyat dan untuk mengepalai pembangunan negeri. Ini berbeza dengan BN yang sejak awal adalah Datuk Seri Hasni Mohammad.”

Berkaitan dengan kempen sepanjang PRN terbabit, Ahmad menjelaskan serangan berbentuk peribadi termasuk tuduhan ‘kluster mahkamah’ yang dijadikan bahan serangan pihak lawan tidak berkaitan.

“Mereka ini bukan bertanding di negeri Johor malah mereka ini belum lagi diputuskan oleh mahkamah. Jadi kita tak boleh membuat rumusan yang mendahului keputusan mahkamah kerana prosesnya masih panjang, dan kita tahu bahawa pemimpin-pemimpin ini adalah mangsa pendakwaan politik terpilih oleh mereka.

“Orang Johor majoritinya tidak termakan kerana rakyat mahu apakah yang dihamparkan kepada mereka, apakah ikrar dan juga ikhtiar yang kita nyatakan dalam akujanji dan jika dibandingkan dengan manifesto-manifesto PH, Pejuang, PN, Muda yang kesemuanya menipu manifesto sebelum ini.

“Lihatlah harga minyak tak seperti yang mereka janjikan, pendidikan percuma tak seperti yang mereka janjikan dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk wanita tidaklah sama seperti yang mereka janjikan. Begitu juga peruntukan ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan tidaklah sama seperti yang mereka janjikan… GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dimansuhkan tetapi diganti dengan enam cukai baru dan kenaikan cukai lain serta banyak lagi penipuan-penipuan. Saya yakin rasa rakyat tak lupa.”

Ujarnya lagi, rakyat negeri Johor inginkan BN kembali memerintah maka realitikanlah dalam PRN.

Dilaporkan seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi esok. Sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka. – UMNO Online