UMNO Terus Jalin Hubungan Baik Dengan Negara-negara Arab, Kukuh Keharmonian

KUALA LUMPUR, 9 Jun – UMNO meneruskan komitmen hubungan baik dengan negara-negara Arab demi mengukuhkan keharmonian yang dijalin sebelum ini, kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata UMNO juga berbesar hati atas jemputan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang mengaturkan pertemuan dengan duta dari Yamen, Somalia, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Oman, Lubnan, Qatar, Kuwait, Algeria, Iraq, Libya, Morocco, Sudan dan Bahrain.

“Rombongan kami diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Perbincangan kami adalah mengenai mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan negara-negara Arab berkaitan.

“… tentunya juga fokus utama dalam pertemuan ini adalah mengenai bagaimana Malaysia boleh membantu perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Tambah Ahmad, pertemuan tersebut itu turut menyebut bahawa kedutaan tersebut sepenuhnya digunakan untuk misi penyaluran bantuan-bantuan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Kita kena memahami bahawa rakyat Palestin bukan hanya berada di Palestin tapi begitu ramai sekali berada di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Hubungan akrab antara UMNO dan Palestin ini begitu lama dan dari sebelum ini lagi dan kita harap ianya akan terus baik demi perjuangan membebaskan rakyat Palestin yang dijajah di negaranya sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online