BN Sedia Bekerjasama Dengan Sesiapa Sahaja… Mesti Yakin Prinsip BN – Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa BN sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada secara persefahaman seperti sekarang ini atau ‘post electoral’ selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jelasnya yang juga Presiden UMNO, dalam BN ada tiga keanggotaan iaitu sebagai parti teras, parti bergabung atau Friends of BN dan parti bersekutu serta kesemuanya memperlihatkan keterbukaan untuk menerima mereka yang yakin dengan prinsip BN.

“Saya telah lontarkan perkara ini dalam Konvensyen BN pada 1 Jun yang lalu dan ini memberikan amaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya Parti Bangsa Malaysia (PBM) tapi juga parti-parti lain sebesar atau sekecil mana pun sebagai salah satu daripada tiga prinsip di dalam tiga parti keanggotaan dalam BN.

 

“Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara-perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak membuat keputusan seorang diri kerana saya akan membincangkan dengan rakan-rakan dalam kepimpinan Dewan Tertinggi BN untuk mencanaikan tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon untuk menyertai BN,” katanya yang memaklumkan setakat ini belum ada permohonan rasmi dibuat termasuk dari PBM pun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

Menjawab soalan berkaitan kenyataan Presiden Pas menganggap pihak yang bertegas mahu menyegerakan PRU adalah golongan yang gila kuasa jawabnya, “mungkin kalau PRU cepat dia khuatir partinya akan kehilangan kurang daripada 18 kerusi Parlimen yang sedia ada.”

Ahmad Zahid juga turut menjawab berkaitan Rang Undang-undang Akta Anti Lompat Parti yang diputuskan tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen kerana beberapa faktor dipertimbang antaranya penjimatan kewangan kerajaan.

 

“ini bukan sol tapi soal ‘timing’ tapi yang penting adalah soal niat. Jika niatnya mahu membawa RUU Anti Lompat Parti ini ke Parlimen maka bila pun jeda waktu ini ditentukan ianya harus mendapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum PRU.

“Ini cukup penting sebab kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRU-14 itu berlaku lagi selepas PRU15 dan ini wajib diterima oleh semua parti sama ada dalam bahagian kerajaan atau pembangkang kerana parti-parti ini juga dimangsakan apabila terdapat ahli-ahli Parlimen atau ADUNnya yang telah bertukar kolam politik mereka,” katanya lagi. – UMNO Online