Pemuda UMNO Tegaskan Akta Anti Lompat Parti Perlu Disokong, Diluluskan

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yakni Akta Anti Lompat Parti yang akan mula dibahaskan hari ini dan esok akan disokong dan diluluskan sepenuhnya dengan majoriti dua pertiga.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana pergolakan politik dan ketidakstabilan negara yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menuntut kerajaan bertindak segera bagi memastikan kestabilan ini tidak bergantung kepada tindakan segelintir wakil rakyat yang gemar melompat parti.

“Dalam akta ini dicadangkan untuk membolehkan pindaan Perkara 48 yang berkaitan ‘kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen’ dengan memasukkan elemen sebarang tindakan lompat parti sebagai salah satu faktor hilang kelayakan.

“Perkara ini termasuklah untuk menambahbaik Perkara 46 (6) iaitu seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelas Dr Asyraf Wajdi, isu ini perlu diperhalusi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan memberikan makna baru terhadap definasi Perkara tersebut serta realiti hasrat pengundi.

“Aspek pilihan kepada parti dan pilihan kepada calon perlu diubah dan hanya dengan pindaan ini nanti sekiranya mana-mana ahli parti yang berhasrat untuk melompat, maka terlucutlah juga kerusi Parlimen yang disandang ketika itu.

“Cadangan Datuk Seri Azalina Othman, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi pilihan raya semula atau ‘recall election’ perlu diambil kira di mana akan wujud mekanisme baru yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti.”

Tegasnya, UMNO sehingga hari ini tetap konsisten dalam perkara ini dan menyokong kepada apa jua resolusi untuk menambahbaik akta lompat parti malah di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Mac 2022 telah dengan sebulat suara meluluskan usul yang berbunyi “Menggesa melaksanakan transformasi institusi politik termasuk cadangan yang diperjuangkan agar Akta Anti Lompat Parti dan Pendanaan Politik dibentangkan di Dewan Rakyat..

“Pada Majlis Tertinggi (MT) UMNO 24 Jun yang lalu juga menggesa supaya Kerajaan segera membentang Akta Anti Lompat Parti sebelum PRU-15 diadakan. Ini juga adalah sebahagian daripada syarat utama perjanjian MoU – keyakinan dan pembekalan (CSA) antara parti Kerajaan dan pembangkang, yang mana RUU Lompat Parti perlu dibentang di dalam Parlimen di dalam tempoh perjanjian.

“Pindaan akta ini amat penting, kerana langkah ini mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan sistem demokrasi negara. Keyakinan rakyat semakin terhakis dan kestabilan negara terus merudum akibat tindakan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab ini.

“Malah tinjauan yang dilakukan pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) juga membentangkan sebanyak 50 peratus individu percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.”
Tegasnya, Pemuda UMNO Malaysia percaya, UMNO akan terus memperjuangkan politik yang progresif, dinamik dan proaktif.

“Kelulusan ini akan akhirnya memberikan keyakinan kepada rakyat dan menghakis kecelaruan yang timbul selama ini. Proses ini tidak boleh ditangguh lagi, dan sekiranya ada juga wakil rakyat yang tidak menyokong, maka kita tahu lah siapa dalang katak yang sebenarnya, yang melindungi acara lompat katak selama ini,” katanya lagi. – UMNO Online