UMNO Bergerak Ke Depan, Jangan Beri Ruang Pembangkang Porak-peranda Parti – Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota parti bahawa jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan UMNO.

Tegasnya, UMNO bukanlah parti nyamuk yang baharu ditubuhkan malah usianya kini melebihi 76 tahun.

“Bermakna UMNO ada tradisi, sejarah dan kesinambungan dalam negara. Patah tumbuh hilang berganti. Sekali air bah sekali pantai berubah. UMNO sentiasa diuji zaman berzaman.

“Ramai yang keluar parti dalam sejarah yang panjang. Ada yang memilih menentang UMNO selepas itu.”

Namun katanya, UMNO tetap teguh walaupun badai politik bergelora malah beliau mengajak melihat sejarah dan tradisi UMNO secara meluas dan panjang yang banyak hikmah dan kebijaksanaan sejarah.

“Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek. Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika sahaja. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.

“Akhirnya UMNO juga tetap hidup, malar segar (evergreen) dan terus diyakini rakyat walaupun usaha memperlekeh UMNO tetap ada.

“Yang penting UMNO sentiasa bergerak ke depan, menyantuni rakyat dengan dasar realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang seperti manifesto PH yang lalu,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ujarnya, kekuatan UMNO terletak kepada ketulusan perjuangan akar umbi UMNO yang selama ini sentiasa teguh setia dan tidak berkhianat.

“Marilah kita sama-sama mempertingkat azam kita untuk bergerak ke depan bersama UMNO dan tidak goyang walaupun badai politik melanda.

“Inilah asam garam politik perlu diharungi. Yang penting rapatkan barisan, tingkatkan kesetiaan kepada keputusan parti dan jangan biarkan kita dimanipulasi oleh musuh politik kita.

“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambahkan serangan politik terhadap UMNO. Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka,” katanya lagi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) – UMNO Online