Cukup-cukuplah… Ini Bukan Zaman Tun Lagi – Zahida

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Cukup-cukuplah Tun Dr Mahathir Mohamad, ini zaman kami, zaman anak muda makin celik politik dan bukan zaman Tun lagi, demikian tegas Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Jelas beliau, sekarang ini bukan zaman sebar surat layang dihimpit dengan batu di masjid ketika solat Jumaat dan bukan zaman video tape (VHS), bukan juga zaman VCD tetapi segala informasi di hujung jari.

“Sebusuk-busuk UMNO di mata Tun, parti inilah yang mendokong beliau hingga 22 tahun di tampuk kuasa.

“Sebusuk-busuk UMNO di mata Tun, tiada seorang pemimpin UMNO yang berjaya mengkayakan anak-anak hingga bergelar ‘Billionaire’.

“Melayu tidak lupa, sebaliknya Tun yang sudah lupa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Imbau Zahida juga, sebagaimana apabila hampir Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu bermula drama air mata Tun Mahathir buat rakyat terpesona dan akibatnya salah pangkah memilih Pakatan Harapan (PH) Dap menjadi kerajaan 22 bulan.

“Sekarang hampir PRU15 beliau mula dengan propaganda diulang-ulang kononnya UMNO buruk, rosak, rasuah dan sebagainya.

“Yang nak disampaikan adalah UMNO hanya akan suci sekiranya Tun sebagai pencatur, UMNO ikut terlunjuk Tun dan anak-anak Tun selamat berada di pucuk pimpinan UMNO sekaligus menjamin anaknya sebagai Perdana Menteri,” bidasnya. – UMNO Online