Kalau Nama Bekas Peguam Negara Taufik Atau Tahir Pun Wajar Disiasat

Rafizi Ramli dakwa UMNO sengaja main sentimen perkauman berkaitan isu siasatan terhadap Tommy Thomas.
Untuk ingatan, ini antara isu berbangkit dalam buku beliau dan dakwaan yang dibuat:

1. Menggambarkan bahawa Allahyarham Tun Razak mendalangi insiden paling hitam 13 Mei 1969.

2. Tommy Thomas berpengaruh dan lantikan hakim dibuat berdasarkan cadangan beliau ‘yang arif dengan semua Hakim Mahkamah Persekutuan’

3. Kematian Allahyarham Muhammad Adib diakibatkan oleh kenderaan bomba dan bukan kerana dipukul seperti yang telah didedahkan oleh Mahkamah Koroner.

Kalau hendak tuduh main sentimen perkauman, Tommy Thomas lebih sesuai dituduh buat perkara tersebut.

Tetapi keputusan Kerajaan untuk menyiasat Tommy Thomas dan respon UMNO kepada keputusan itu, tiada kena mengena dengan perkauman.

Dakwaan Tommy Thomas menimbulkan tanda soal mengenai integriti dan ketelusan institusi Peguam Negara di bawah kepimpinan Tommy Thomas.

Rafizi minta siasatan terhadap kapal LCS kerana perkara tersebut melibatkan integriti dan ketelusan sesebuah Kerajaan. Kerajaan telah mendedahkan beberapa laporan penting kepada umum.

Jadi apa salahnya apabila UMNO bangkitkan perkembangan mengenai siasatan pasukan petugas terhadap Tommy Thomas? Adakah Rafizi merasakan bahawa integriti dan ketelusan dituntut hanya apabila Barisan Nasional terlibat?

Siasatan akan dijalankan antaranya dibawah Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu, dan Seksyen 23 Akta SPRM Kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Mungkin Rafizi cuba reka persepsi bahawa UMNO bangkitkan isu ini kerana Tommy Thomas bukan Melayu. Ingin ditegaskan, kalau nama dia Taufik, Talib, Tahir dan dia tulis buku sama, pun patut disiasat.

Ini soal integriti dan ketelusan bukan perkauman.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia