PRU15: Pas Perlu Penuhi Syarat Sekiranya Mahu Bersama UMNO

 

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Pas perlu mematuhi syarat yang ditetapkan sekiranya mahu bersama parti ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Berkongsi mengenai pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang diadakan baru-baru ini, beliau berkata ianya juga membincangan pelbagai dasar termasuk berkenaan masa depan kedua-dua parti.

“Saya telah mengakui pertemuan telah diadakan dengan Presiden Pas, apa yang kami bincang lama adalah mengenai dasar dan tentunya perkara ini dibawa ke Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi, keputusan adalah mengabsahkan jika Pas mahu bersama dengan kita seteleh memenuhi syarat-syarat yang telah kita tentukan.

“Tanpa penuhi syarat-syarat itu maka kami akan bergerak solo bukan kerana terlalu ‘over confident’ tetapi yakin bahawa tanpa mereka tentunya kita mesti bergerak mengikut kaedah-kaedah peperangan bagi hadapi PRU

“Tapi sekiranya mereka mahu bersama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) mereka bebas untuk gunakan lambang parti mereka, kita boleh tolerasi untuk jalin kebersamaan jentera bagi hadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Perjumpaan Khas bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Husein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN pada masa sama turut meluahkan penghargaan atas komitmen yang diberikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyokong calon BN pada PRU-15 kelak.

“Saya juga ingin memaklumkan di Sabah saya telah mengadakan perbincangan dengan GRS dan mereka telah berikan perakuan bahawa mereka akan menyokong calon BN, kami amat hargai dan berharap ianya direalisasikan.

“Begitu juga dengan beberapa permohonan parti-parti yang mahu menyertai BN, Dewan Tertinggi akan putuskannya.

“… dan kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan atau Friend of BN dan tujuh lagi parti baharu yang mahu sertai, maka perkara ini akan dibawa ke perbincangan Dewan Tertinggi,” ujar beliau lagi. – UMNO Online