Bubar Parlimen Mandat Untuk Rakyat Pilih Kerajaan Stabil, Tolak Janji Palsu – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 14 Okt – Rakyat yang menentukan masa hadapan negara dengan memilih pemimpin serta parti mana yang layak menerajui pentadbiran lantas menentukan hala tuju bagi mengembalikan kegemilangan tanah air dengan menolak janji-janji palsu.

Demikian tegas Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menekankan bahawa pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukan sengaja diadakan sebaliknya adalah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan masa depan yang stabil dan makmur.

Ini kerana katanya, selepas PRU ke-14, pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku apabila kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih yang malangnya lebih banyak membuat keputusan atas pertimbangan peribadi dan kroni.

“Kita bersyukur kerana PH hanya mentadbir 22 bulan walhal dalama tempoh itu pun dah macam-macam kerosakan yang mereka lakukan. Semua perancangan yang dah dibuat oleh kerajaan sebelumnya iaitu Barisan Nasional (BN) telah dihentikan biarpun ia menyumbang manfaat besar kepada rakyat.

“Apa jadi penjawat awam… ramai diberhentikan. Yang kontrak ditamatkan serta-merta, dibuang dan tak ada kerja. Janji nak bagi anak muda peluang pekerjaan sudahnya ramai yang menganggur.

“Kemudian diganti dengan Perikatan Nasional (PN) yang hanya tahu mengurung rakyat, ekonomi terhenti sampaikan Parlimen pun digantung. Kerana itu, sekarang ini adalah masa terbaik untuk semua membuat penilaian antara parti-parti politik yang ada bagi menjadi pentadbir kepada rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan keutamaan adalah rakyat dan negara kerana keamanan dan kesejahteraan adalah impian setiap masyarakat dalam menentukan masa depan.

“Kita pernah merasai pentadbiran BN, PH dan PN, maka dengan keadaan Parlimen yang dah dibubarkan sekarang ini maka ia adalah ruang terbaik kepada rakyat bagi menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas mentadbir sementara yang mana hanya penuh dengan janji-janji kosong.

“Jangan lupa kata-kata ‘manifesto bukan kitab suci’, minta rakyat ikat perut, suruh minum sesudu minyak sawit, suruh orang ramai berkorban sedangkan merekalah yang menaburkan janji mansuh tol, hapus hutang PTPTN dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau akui bahawa rakyat sebelum ini tentunya ramai yang keliru dengan pelbagai janji-janji dan kata-kata manis yang dilontarkan sebelum PRU ke-14 namun tentunya menjelang PRU ke-15 suasananya berbeza.

Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian selepas meraikan ulang tahun beramai-ramai komuniti Presint 8, malam tadi.

“Inilah kemeriahan keluarga besar Putrajaya. Acara santai ramah mesra yang memang kita selalu jadikan amalan, meraikan, memperkukuh silaturrahim dan kita semai perpaduan.

“Alhamdulillah, sokongan yang amat saya syukuri apabila kita sama-sama hargai kesejahteraan. Nikmat yang Allah SWT kurniakan untuk kita maka marilah terus kita jaga keamanan keluarga kita agar tidak dicemari dengan perkara-perkara negatif.

“Terima kasih semua, komuniti setempat serta semua pihak yang telah meraikan kebersamaan kita yang penuh dengan muafakat keluarga besar,” katanya lagi. – UMNO Online