Ikhtiar Terakhir UMNO Selamatkan Muafakat Nasional – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah.

Menurut beliau ini kerana permuafakatan UMNO-Pas mesti diselamatkan demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Ini merupakan gambar pertemuan lapan mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti UMNO dan Pas pada hari Rabu 12 Oktober 2022.

“Sehari sebelum Pas akhirnya membuat keputusan kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – Perikatan Nasional (PN),” katanya sambil berkongsi gambar perjumpaan tersebut di Facebook.

Jelas Dr Asyraf, pertemuan itu adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang.

“… atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi Pas yang membawa mesej bahawa Majlis Syura dan Muktamar Pas telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak PAS juga dikhabarkan membuat resolusi serupa,” ujar beliau.

Tambah beliau UMNO sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali Pas, walaupun dikhianati apabila parti itu bersetuju mendaftarkan PN bersama PPBM sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

“Sebagaimana PRN Melaka dahulu, UMNO menawarkan 5 kerusi DUN boleh menang kepada PAS untuk ditandingi walaupun PPBM menjanjikan 11 kerusi kepada PAS.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, PAS menegaskan bahawa jika bersama PN, PPBM menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada PAS.

“Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi PRU15,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba kerana perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan

“UMNO yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan,” katanya. – UMNO Online