Spin, Putar Belit, Fitnah Kembali Burukkan UMNO/BN – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meluahkan kekesalan beliau berkenaan penularan kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah disalah tafsir, diputar belit untuk dijadikan modal pihak lawan memfitnah UMNO/Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kononnya bahawa Ahmad Zahid menyatakan beliau membuat pengakuan pada Perhimpunan MIC sekiranya BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyelamatkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN daripada dibicara di mahkamah dan dihukum adalah tidak benar.

“Sedangkan semua kenyataan itu adalah tidak benar sebaliknya nak tegaskan bahawa jika pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN)/ Pakatan Harapan (PH) yang menang maka akan terus berlaku penganiayaan dan pendakwaan terpilih yang tidak masuk akal.

“Lihat apa jadi apabila PH menjadi kerajaan selepas PRU14, ramai Pemimpin UMNO/BN yang dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal, malah yang kemudian melompat memberikan sokongan kepada mereka … digugurkan pula kesnya.

“Bekas Peguam Negara Tommy Thomas pun mengakui sendiri dalam buku yang ditulisnya bahkan lebih teruk sebanyak 15 kes melibatkan rasuah, penyelewengan, fitnah serta hasutan yang dilakukan oleh pemimpin PH telah digugurkan oleh Peguam Negara lantikan mereka selepas mereka berjaya menjadi kerajaan,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata PH telah menggugurkan segala pendakwaan yang dilakukan oleh pemimpin mereka termasuklah Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.

“…malah kes rasuah Lim Guan Eng yang ketika itu sudahpun berjalan tapi dihentikan lantas dilantik bekas Menteri Kewangan.

“Inilah bukti jelas bahawa fitnah dan putar belit untuk memburukkan UMNO/BN kembali digunakan oleh pihak lawan. Ucapan Datuk Seri Zahid adalah bukti bagaimana liciknya pihak lawan yang mahu memburukkan UMNO/BN sedangkan hakikatnya mereka yang bertindak sedemikian,” tegas beliau.

Beliau pada masa yang sama berkata lebih jelas bahawa UMNO/BN menolak sebarang sifat prejudis, bermuka-muka, penuh sandiwara dan kepincangan sebagaimana tuduhan malah amalan rasuah yang cuba dipalitkan kepada parti adalah amat bertentangan dengan prinsip UMNO/BN.

“Tidak benar sama sekali bahawa UMNO/BN akan bertindak sesuatu yang bertentangan dengan keluhuran perundangan dan melanggar batas ajaran agama waima UMNO adalah parti yang mendukung perjuangan demi menegakkan agama, bangsa dan negara.

“Justeru, saya rayu semua pihak agar jangan lagi terpalit dengan tindakan memutar belit fakta sebaliknya apa-apa perkara semak dan nilai kebenarannya. UMNO/BN tawarkan ‘Kemakmuran Dan Kestabilan’, insya-Allah,” katanya. – UMNO Online