Empat Keahlian UMNO Gugur Tanding Parti Lawan, Jawatan Di Bahagian Dipangku Timbalan

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan berkaitan pengguguran keahlian empat ahli UMNO, yang didapati telah mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 selepas proses penamaan calon diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu lalu.

Katanya menerusi satu kenyataan media hari ini, empat ahli berkenaan ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis.

“Pengguguran keahlian keempat-empat mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Jelas beliau Fasal tersebut dengan jelas menyebut ‘Seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya’.

Justeru katanya, dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang berkenaan.

“UMNO juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya lagi. – UMNO Online

Download (PDF, 1010KB)