Yakini ‘Track Record’, Parlimen Putrajaya Mesti Milik UMNO/BN – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 7 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin dengan track record yang ditunjukkan selama beliau menyandang kerusi itu akan dapat mengekalkan kemenangan BN dan menyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, sebagai seorang ahli Parlimen, sudah semestinya beliau perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sekitar dari pelbagai aspek.

“Saya tahu apa yang saya lakukan. Saya ada track record, bukannya tiada. Saya bukan seperti ahli Parlimen yang seperti pembangkang sebut ‘they are lawmaker, no need to serve your constituent, the constituent will be served the local authorities’. No, you got to serve.

“Saya sebagai ahli Parlimen, ada empat perkara penting yang saya perlu utamakan. Pertama, adakah rakyat mempunyai makanan di atas meja mereka? Kedua saya nak memastikan bahawa setiap rakyat mempunyai tempat berteduh.

“Sebab itu saya mulakan projek perumahan RUMAWIP di Wilayah Persekutuan. Ada 89,000 unit rumah RUMAWIP dan semuanya siap serta tidak terbengkalai. Saya jual dengan harga yang lebih murah,” katanya kepada UMNO Online.

Selain itu, Tengku Adnan turut mementingkan pendidikan yang akan diberikan kepada anak-anak setempat dan memastikan bahawa warga Putrajaya mempunyai peluang pekerjaan.

“Ketiga, memastikan peluang pendidikan diberikan kepada anak-anak kita dan keempat, memastikan mereka mempunyai peluang pekerjaan.

“Itu yang saya lakukan dan UMNO/BN merupakan sebuah parti yang multiracial, multiculture dan multiethnic. Kita tahu dengan segala kepelbagaian ini, sekiranya kita tidak bersatu selepas ini, mungkin ianya tidak akan jadi seperti ini lagi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut berharap agar dengan kesatuan dibina oleh warga Putrajaya yang hidup secara harmoni seperti sebuah keluarga ini dapat menyingkirkan pihak lawan daripada menakluki kerusi Parlimen itu.

“Selama ini, kita bersatu padu and you (pihak lawan) come in to disturb. Seperti Putrajaya ini saya hairan kenapa ada yang nak kacau saya.

“Kita harmoni, duduk seperti sebuah keluarga yang tiada sebarang masalah. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. I think the voters will give them a lesson,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Tengku Adnan telah berjaya menewaskan pihak lawan daripada PKR, Shamsu Adabi Mamat dan Pas, Haji Zainal Abidin Kidam dengan majoriti undi sebanyak 3,372 undi.

Untuk rekod, Tengku Adnan telah menyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama 18 tahun sejak PRU ke-11. – UMNO Online