BN Satu-Satunya Parti Politik Mampu Jelmakan Kestabilan Politik Malaysia – Khaled

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap rakyat khususnya di Kota Tinggi mengunakan hak dan kesempatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini untuk membuat keputusan yang akan memanfaatkan mereka.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen tersebut berkata mereka perlu keluar daripada kecelaruan dan ketidakstabilan politik selama ini yang jelas merosakkan negara.

“Para pengundi Kota Tinggi yang saya sangat hormati
Sabtu ini, kita akan memilih wakil rakyat baharu untuk Kota Tinggi dan BN adalah satu-satunya parti politik yang mampu menjelmakan kestabilan politik, yang diperlukan oleh Malaysia.

“Tiada kerajaan yang boleh tertubuh dan mentadbir Malaysia dengan jayanya tanpa BN sebagai peneraju kali ini, saya menawarkan diri untuk menjadi suara Kota Tinggi di Parlimen Malaysia melalui BN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, berbekalkan pengalaman semasa menganggotai Jemaah Menteri dan menjadi Menteri Besar Johor beliau akan manfaatkan sebaiknya untuk membangunkan Kota Tinggi.

“Ikrar saya ialah untuk berkhidmat dengan sebaik, setulus dan segigihnya jika saya terpilih, insya-Allah saya akan usahakan era baharu untuk Kota Tinggi.

“Era yang akan menyaksikan Kota Tinggi dibangunkan secara lebih terangkum, deras, seimbang dan selari dengan keperluan masyarakat di sini.

“Saya mohon dukungan dan sokongan semua penduduk Kota Tinggi untuk memberikan saya peluang berkhidmat dan marilah kita semua bekerja bersama-sama demi masa depan yang lebih baik dan makmur.

“Insya-Allah, undi anda adalah undi untuk Kota Tinggi yang lebih baik dan maju… sekali lagi, saya Khaled Nordin, calon nombor satu. Undilah kestabilan. Undilah kemakmuran. Undilah BN,” ujar beliau. – UMNO Online