Prinsip Asas BN Kerajaan Mesti Bawa Kestabilan, Kemakmuran Untuk Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Barisan Nasional (BN) berpandukan prinsip asas iaitu pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini mesti membawa kebaikan dan manfaat kepada kestabilan serta kemakmuran untuk rakyat dan negara.

Kata Pengerusi Pemuda BN itu, walaupun begitu secara peribadi beliau berpandangan BN boleh kekal sebagai pembangkang untuk semak dan imbang.

“Tak sangka pula BN yang disumpah seranah, dikecam, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai label dan gelaran, namun akhirnya hari ini kepimpinan diminta pula menilai tawaran-tawaran yang ditawarkan oleh PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional) hanya untuk membolehkan kerajaan dibentuk.

“Cuma persoalannya, apakah kerajaan boleh dibentuk tanpa BN? Apakah BN wajar biarkan negara berada dalam keadaan Parlimen tergantung (hung parliament)?” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook dengan melampirkan gambar sedang bermesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini petang ini.

Pagi tadi, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu perjumpaan bersama ahli-ahli Parlimen BN berkata majoriti ahli Parlimen BN telah memutuskan bahawa ketetapan dan arahan parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan arahan tetap yang wajib diikuti semua ahli Parlimen BN kerana mereka bertanding atas tiket BN.

Ujar Presiden UMNO itu, mana-mana individu yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya akuan bersumpah (SD) untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ianya melanggar ketetapan parti serta akuan-akuan bersumpah yang telah ditandatangani oleh setiap calon BN.

Sabtu lalu, keputusan PRU15 menyaksikan sehingga hari ini masih tiada mana-mana parti dan gabungan yang dapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Pada PRU15 BN hanya mendapat 30 kerusi Parlimen manakala PH 82 kerusi dan PN 73 kerusi. – UMNO ONLINE