UMNO/BN Perlu Pandang Ke Hadapan Demi Kelangsungan Parti – Noraini

KUALA LUMPUR, 2 Dis – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memandang ke hadapan demi kelangsungan parti ini, ujar Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, Wanita UMNO menyeru kepada seluruh ahli UMNO dan BN amnya serta ahli wanita khasnya untuk bersama-sama memberi kepercayaan, keyakinan dan bersolidariti dengan Presiden dan pucuk pimpinan parti dalam usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat.


“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu merupakan suatu isyarat jelas daripada rakyat yang harus diinsafi dan dihormati oleh ahli-ahli UMNO dan BN. Kita perlu akur untuk menerima dan menghormati mandat yang telah diberikan ini.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk kita meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, kita harus mengambil iktibar dan pelajaran serta jadikan ianya sebagai titik permulaan untuk UMNO dan BN mengorak langkah bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, keputusan PRU15 juga menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Alhamdulillah, kebuntuan yang berlaku dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“BN menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kerajaan perpaduan yang dibentuk ini stabil demi kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Norliza Abdul Rahim juga mempunyai pandangan yang sama dengan Noraini bahawa Wanita UMNO hendaklah terus memandang perkara yang lebih besar dan mencabar di sebalik hikmah keputusan PRU15 yang lalu.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama kepimpinan Wanita UMNO yang terdiri daripada Exco-exco dan Ketua-ketua Wanita UMNO Bahagian di dalam program Solidariti Bersama Presiden UMNO dan Taklimat Isu Semasa.

Untuk rekod, keputusan PRU ke-15 menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan persekutuan secara bersendirian.

BN memperoleh 30 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 82; Perikatan Nasional (PN) (73), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi.

Kini, kerajaan persekutuan yang terbentuk merupakan kerajaan perpaduan gabungan parti-parti politik yang diketuai parti-parti teras PH-BN-GPS dengan sokongan parti-parti lain termasuk Warisan, GRS, PBM, KDM dan Bebas; yang menjadikan jumlah keseluruhan 148 Ahli Parlimen dengan majoriti dua pertiga. – UMNO ONLINE