Kempen Mewah PRU15, Sumber Kewangan PN Menjadi Persoalan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mempersoalkan dari mana datangnya sumber kewangan Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu kerana mereka dilihat seakan-akan ‘mewah’ ketika berkempen.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut meminta para penyokong serta jentera untuk bertanyakan sumber kewangan gabungan itu kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila mereka (PN) berbelanja besar semasa PRU, jadi kita terfikir adakah sebahagian daripada RM600 bilion itu tadi digunakan untuk dana pilihan raya mereka? Saya pergi Tioman minggu lepas saya tanya kepada pengundi Pas, saya kata saya tahu PPBM ada beri dana kepada Pas untuk buat kempen dan sebagainya.

“Saya nak mereka tanya Tan Sri Muhyiddin dari mana datangnya sumber-sumber kewangan ini? Adakah daripada sumber-sumber halal? Kalau ianya datang daripada sumber judi dan rasuah daripada RM600 bilion itu, saya ingat sebab itulah kemenangan mereka ini tidak berkat walaupun mereka menang 73 kerusi. Ini hakikat yang mereka perlu terima,” katanya dalam satu sesi wawancara secara langsung, semalam.

Jelasnya, kempen yang mendakwa diri mereka ‘Bersih dan Stabil’ membuatkan gabungan tersebut berjaya memperoleh 79 kerusi parlimen semasa PRU ke-15.

“Ramai orang tanya macam mana PN boleh menang sampai 79 kerusi maka kita buat sedikit analisis. Ianya berdasarkan dua faktor. Pertama, kempen yang mengatakan mereka ini ‘Bersih dan Stabil’. Mereka katakan mereka bersih dan dalam pada masa yang sama kutuk kita Barisan Nasional (BN) rasuah, tidak bersih.

“Keduanya, adalah disebabkan duit. Kita tengok banyak kawasan dan kubu kuat kita tiba-tiba kalah dengan majoriti yang besar. Banyak laporan yang kita dapat termasuk dengan video mereka (PN) beri tunai kepada pengundi. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan perlu disiasat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tindakan PN berbelanja secara mewah semasa PRU yang lalu dan ucapan Ketua PN Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor turut menunjukkan bahawa mereka ‘membeli’ undi rakyat untuk mendapatkan kemenangan.

“Apa yang berlaku ialah saya tengok PN kali ini memang berbelanja mewah. Di tempat saya bertanding (Shah Alam) pun kita boleh nampak. Bukan sahaja daripada segi banner,  bunting malahan mobilisasi juga.

“Apabila ada ucapan daripada pemimpin-pemimpin Pas, Sanusi sebagai contohnya. Dia sendiri complain ada ramai orang minta duit daripada mereka, tiada orang pun minta duit daripada BN sebab bukan kita yang bagi. Bila ada orang berjanji nak bagi duit, tentunya orang yang tak dapat itu marah. Ada video-video kita tengok, ramai pergi kejar wakil rakyat dan minta duit untuk mengundi.

“Jadi, saya rasa betullah mereka menang sebab duit. Perkara ini perlu disiasat sebab kita tidak mahu mereka menang dengan cara sebegitu. Sebanyak 73 kerusi parlimen dan kita pun terkejut mana sumber mereka dapat duit ini. Banyak orang tanya dan mereka tidak boleh jawab,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online