Binalah semula keutuhan parti, seru Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak ahli Umno bersama-sama membina semula gerakan parti selepas keputusan hambar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga timbalan perdana menteri, yakin parti itu mampu bangkit setelah rebah pada PRU15 dengan berbekalkan semangat musyawarah dan keikhlasan.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau selepas Taklimat Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini, Ahmad Zahid juga menekankan bahawa sebarang perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, perlu dibincangkan secara berjemaah.

“Alhamdulilah saya amat terharu melihat ramai perwakilan yang sudah tiba di Dewan Merdeka, bagi satu sesi Taklimat Presiden UMNO.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi, sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.