Terserah kepada RoS untuk sahkan usul PAU

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menentukan keabsahan usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 berkaitan jawatan tertinggi parti itu.

Bercakap di Bagan Datuk semalam, beliau berkata laporan mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang perlu diabsahkan agar dapat menghentikan segala spekulasi dalam kalangan segelintir ahli yang tidak berpuas hati.

Kita ikuti semua proses mengikut Perlembagaan Umno dan peraturan mesyuarat telah diikuti oleh pengerusi persidangan. Semua langkah itu adalah mengikut peraturan.

“Jika ada sebarang aduan yang dibuat pada RoS, Umno sangat terbuka untuk mereka kemukakannya,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sepertimana termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966, sudah menjadi ketetapan kepada mana-mana pertubuhan berdaftar untuk mengemukakan laporan persidangan kepada RoS.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu berkata laporan berkenaan bukanlah bagi tujuan kelulusan sebaliknya untuk pemakluman.