“Saya tak kompromi soal integriti parti!”

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli, namun tidak akan berkompromi sekiranya ada antara mereka menyentuh soal integriti parti itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana beliau amat mementingkan kesatuan dalam parti berkenaan.

“Saya meraikan perbedaan pendapat, silakan bercakap tetapi apabila integriti parti disentuh, saya tidak boleh berkompromi lagi dalam perkara ini, yang penting ialah soal kesatuan dalam parti itu.

“Penyatuan pemikiran dalam kalangan kepimpinan, penyatuan hati nurani dalam kalangan kepimpinan, penyatuan tindakan pelaksanaan kepada aktiviti jentera parti ini harus diutamakan dan ini mungkin sukar difahami tetapi tidak sukar untuk saya laksanakan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata dalam sesebuah parti, tidak seharusnya ada ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘duri dalam daging’. – Bernama