Perkukuh perpaduan parti, kata Ismail Sabri

NAIB Presiden, Ismail Sabri Yaakob berharap mesyuarat Cawangan kali ini sebagai medan untuk memperkasa kesepaduan dalam kalangan ahli parti.

Katanya perkara itu penting dicapai sebagai simbolik kepada kebangkitan parti keramat ini selepas berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh negara bermula 1 Februari sehingga 26 Februari 2023.

“Jadikan mesyuarat cawangan kali ini medan untuk mengembalikan semangat juang memperkukuhkan parti yang terkesan hebat akibat kekalahan parti dalam PRU15 juga untuk memperkukuhkan solidariti sesama kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan akan berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT juga akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Manakala, mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023.