Penghargaan parti kepada Ismail Sabri Yaakob

SETIAUSAHA Agung, Ahmad Maslan semalam menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri Yaakob atas jasanya sebagai Naib Presiden Umno.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Ismail Sabri untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden pada Pemilihan yang dijadualkan Mac ini.

“Saya kira beliau sudah membuat satu keputusan yang besar buat dirinya… mungkin beliau tidak mahu lagi bertanding sebab sudah sampai ke puncak dalam perjuangan politiknya dengan menjadi Perdana Menteri, tiada yang lagi atas daripada itu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri kesembilan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sejak 2018.

Beliau adalah antara tiga penyandang jawatan itu selain bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin. Hanya Ismail Sabri yang tidak akan mempertahankan jawatan.