118 rebut jawatan peringkat tertinggi parti

SEBANYAK 118 pencalonan diterima bagi merebut jawatan tertinggi Umno, khususnya Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan parti bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) 2023, Shahrir Abdul Samad berkata daripada jumlah itu, lapan pemimpin menawarkan diri merebut tiga jawatan Naib Presiden sementara 95 bagi jawatan Ahli MKT.

Katanya, tiga pencalonan bagi Ahli MKT ditolak selepas didapati tidak memenuhi syarat untuk bertanding iaitu seorang anggota MKT atau pernah memegang jawatan sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun di peringkat bahagian.