Wanita hargai sumbangan Kedutaan China

WANITA Umno Malaysia melahirkan penghargaan kepada China yang komited dan prihatin kepada rakyat di negara ini menerusi bantuan dihulurkan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan terutama ketika Ramadan dan menjelangnya Syawal.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tidak dapat dilupakan juga apabila China memberikan bantuan keperluan perubatan ketika Malaysia bergelut dengan penularan wabak COVID-19 beberapa tahun lalu.

“China telah membuktikan bantuan kepada Malaysia, terutamanya semasa pandemik COVID-19. Bukan sahaja mereka memberi bantuan perubatan kepada sektor kerajaan malah kepada pelbagai badan bukan kerajaan, Umno tidak terkecuali.

“Kini pihak kedutaan telah hadir dengan membantu anak-anak yatim, ibu tunggal dan yang kurang bertuah sebelum Syawal.

“Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada Kedutaan China atas kebajikan mereka, semoga ia tidak berhenti di sini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Bantuan Ramadan Syawal Kedutaan China yang berlangsung di Rumah Titian Kaseh di Titiwangsa, pagi tadi

Bantuan keperluan asas tersebut diberikan oleh Menteri-Kaunselor Kedutaan China, Lee Shiguang kepada 300 penerima yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ansaf sebagai meringankan beban mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dr Noraini juga berkata hubungan yang sudah lama terjalin di antara kedua buah negara ini sangat signifikan apatah lagi termeterai sejak kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Turut hadir ialah penganjur yang juga pengerusi B-P Guild Kelantan Norliza Mohd Nor.