Umno sertai kerajaan atas ihsan orang lain – Mohamad

TIMBALAN Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakan-rakan kabinet Umno yang berada dalam kerajaan untuk terus menunjukkan prestasi terbaik di samping membawa agenda parti bersama.

“Ingat, kita ni sertai kerajaan atas ihsan orang lain.

“Jadi, buatlah yang terbaik untuk negara dan rakyat. Buktikan,” katanya dalam wawancara dengan Umno Online semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut mengingatkan bahawa Umno/Barisan Nasional (BN) berperanan untuk menjadi penyemak imbang Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.

“Orang boleh buat perbandingan sebab banyak parti dalam Kerajaan Perpaduan ini. Saya harap rakan-rakan kabinet saya dan juga timbalan-timbalan menteri, kurangkan bercakap, banyakkan kerja dan jangan lupa bahawa agenda parti pun perlu kita bawa bersama.

“Agenda parti kita untuk membasmi kemiskinan, untuk menjaga hak dan maruah bangsa Melayu serta agama Islam. Itu kita jangan lupakan. Sebab itu, lebih baik menjadi penyemak imbang di dalam daripada di luar.

“Itu yang sedang kita lakukan sekarang iaitu menyemak imbang kerajaan daripada dalam,” katanya lagi.