Hentikan polemik politik, bangunkan negara – Rosni

KETUA Penerangan Wanita, Rosni Zahari menyeru pemimpin politik untuk menghentikan sengketa politiking demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, ini termasuk perancangan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada perlu dihindar kerana rakyat kini makin muak dengan percaturan politik kerana ianya akan turut sama memberi kesan kepada mereka.

“Seruan saya kepada ahli politik, hentikanlah politiking sepanjang masa, pilihan raya sudah berlalu, sekarang masa untuk membina dan membela nasib bangsa Malaysia, rakyat dah penat, rakyat dah muak dengan politik yang tak berkesudahan.

“Bagi peluang kepada mereka merencana masa depan jangan ada lagi komplot jahat yang bercita-cita untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan hari ini, setiap pihak harus menghormati antara satu sama lain.

“Jangan biarkan ada pihak yang teraniaya dek kerana sistem telah disalahgunakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata, pengajaran daripada krisis politik selepas PRU14 perlu diambil pengajaran sebaiknya kerana ianya turut sama menjejaskan ekonomi negara.