BN, PH tak gopoh isu kerusi 6 PRN – Zahid

BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian ‘tidak tergopoh-gopoh’ dalam pembahagian kerusi untuk enam pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata pendekatan itu juga diambil bagi mengelakkan pertembungan atau sebarang permasalahan yang mungkin timbul, jika calon yang dipilih tidak dapat memberikan kemenangan pada pilihan raya nanti.

Selain itu katanya rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan juga melibatkan ‘prosedur’ iaitu perbincangan antara BN dan PH di peringkat negeri sebelum ke peringkat nasional untuk dimuktamadkan setelah perundingan dilakukan dengan presiden parti-parti komponen dalam BN dan PH.

“Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan. Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan likeable seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan.

“Lagipun kita mempunyai masa yang agak panjang, mungkin sehingga Julai atau awal Ogos untuk kita hadapi kempen PRN secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini, semalam.