Tiada Ahli Parlimen BN terbabit, kata Tok Mat

BARISAN Nasional (BN) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat Ahli Parlimen dalam kalangan parti komponennya yang terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hasan berkata BN tidak akan memporak-perandakan kerajaan sedia ada kerana ia telah berjanji untuk membentuk kerajaan yang stabil serta diperlukan bagi menguruskan negara, dan kerajaan ketika ini ditubuhkan atas dasar kerjasama pelbagai parti.

Untuk menumbangkan kerajaan sekarang saya rasa agak sukar kerana Akta Anti Lompat Parti telah berkuat kuasa dan mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong parti lain perlu meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil.

“Kerajaan kini juga mempunyai majoriti yang agak besar sebanyak 148,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman yang mendakwa Perikatan Nasional telah mendapat sokongan 126 Ahli Parlimen.