Usah terlalu banyak berpolitik, kata Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat terus bersatu padu dengan mengelakkan politiking yang berlebihan dalam usaha memastikan kesatuan yang ada terus dikekalkan.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Umno Bagan Datuk di sini malam tadi, beliau berkata perbedaan warna-warna politik tidak seharusnya menjadi halangan kepada kesatuan masyarakat secara menyeluruh.

“Terima kasih kepada pengunjung yang datang meriahkan majlis sambutan aidilfitri malam ini. Dalam situasi kerajaan negeri yang begitu stabil hari ini, kita ingin mohon rakyat Perak keseluruhannya ketepikanlah perbedaan dalam kalangan kita, warna-warna politik yang pelbagai dan mesti menyatukan pemikiran kita, menyatukan tindakan dan jangan banyak berpolitik,” katanya.

Hampir 10,000 penduduk membanjiri dataran terbuka Masjid Tuminah Hamidi  yang menjadi lokasi sambutan.

Zahid yang juga  Ahli Parlimen Bagan Datuk seterusnya menambah beliau tidak mahu politiking menjadi asas kepada kehidupan masyarakat.

“Saya tidak mahu politiking menjadi asas kepada kehidupan kita dan boleh politiking apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).”