Tumpuan kini terarah ke PRK Pelangai

KEJAYAAN parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang diraih melalui kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam membuktikan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) diterima rakyat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman atas kemenangan masing-masing di kerusi Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, pimpinan utama PH-BN juga menyifatkan kemenangan wakil daripada parti Amanah itu juga menunjukkan rakyat lebih memilih “politik khidmat” yang ditawarkan gabungan politik itu berbanding “politik persepsi” dibawa Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kejayaan itu juga membuktikan kesungguhan PH dan BN untuk mengetepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil seterusnya membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara.

“Terima kasih kepada pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana memberikan sokongan di kotak undi bagi dua calon PH-BN, Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman. Tahniah juga buat kedua-dua calon ini.

Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa juga isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang didepani rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas usaha berterusan menerusi kempen dan menggerakkan jentera bagi membantu kemenangan kedua-dua calon.

PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas Suhaizan dan Nazri, kedua-duanya daripada Amanah menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 18,641 dan 3,514 majoriti undi.