Pemecatan tidak dibincangkan, kata Asyraf

ISU membabitkan pemecatan beberapa ahli Umno tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti malam tadi, sebaliknya tertumpu kepada usaha memperkasakan parti itu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki berkata isu berkaitan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi, Isham Jalil mengenai Umno perlu bergerak solo dalam pilihan raya sebelum ini, juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat itu susulan ketidakhadirannya.
Kelmarin, Isham mendakwa dirinya termasuk beberapa ahli mungkin dipecat daripada parti itu minggu ini, susulan tindakan lantang pemimpin terbabit mengkritik keputusan kepimpinan parti menyertai pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).
Mengenai perkembangan isu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka, Muhammad Jailani Khamis yang menghadiri Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN), Asyraf Wajdi berkata perkara itu terserah kepada Lembaga Disiplin.