Kes Najib: Umno Pekan buat laporan polis

UMNO Bahagian Pekan telah membuat laporan polis berdasarkan memo tular mengenai kes dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai wujud salah guna kuasa.

Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, memo dalaman Jabatan Peguam Negara yang tular itu mendakwa bahawa tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri adalah tidak berasas dan sepatutnya dibatalkan.

“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan mewakili semua kepimpinan sayap dah ahli-ahli telah membuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Laporan Polis berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa memo dalaman Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019 oleh Datuk Jamil Bin Aripin, pendakwa utama kes IPIC melibatkan tuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini sedang dihadapkan ke mahkamah tinggi bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Memo tersebut dialamatkan kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas (yang pada masa itu masih merupakan Peguam Negara) bagi memberitahunya bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan seharusnya dibatalkan. Pandangan ini dikongsi oleh seluruh pasukan pendakwaan IPIC,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, memo tular tersebut turut menunjukkan bahawa tuduhan telah dibuat tanpa sebarang siasatan sewajarnya dan tiada seorang pun saksi didakwa menyokong tuduhan tersebut.