Umno Wilayah gesa siasat Radzi Jidin

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat susulan dakwaan rasuah membabitkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.

Gesaan itu dibuat Umno Wilayah Persekutuan hari ini susulan dakwaan Ahli Parlimen Putrajaya itu terbabit dalam pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya menerima dua mesej tular di WhatsApp dua hari lalu mengaitkan Radzi dengan beberapa individu berkait pemberian kontrak itu.

Beliau berkata, mesej pertama mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Dato Chia yang didakwa membolot projek selenggara sekolah.

“Kami difahamkan individu ini juga adalah kartel dan modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus daripada Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah.

“Dakwaan ini menjadi satu polemik dan kita ingin buat laporan atas dasar kebenaran dan isi kandungan yang ditularkan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan kepada SPRM di sini, hari ini.