TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan elaun petugas barisan hadapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam Negeri (Main) seperti penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh serta guru agama dinaikkan.
Ahmad Zahid berkata, kenaikan elaun itu munasabah mengambil kira status petugas berkenaan yang berkhidmat sebagai sukarelawan tetapi banyak membantu kerja penyebaran dakwah kepada saudara baru.
“Elaun diberikan kepada mereka (petugas barisan hadapan) relatifnya masih rendah.
“Apa saya sarankan tadi (dalam ucapan), elaun untuk mereka ditambah kerana kerja dakhwah menyantuni banyak permasalahan saudara baru termasuk di pedalaman.
“Jadi, adalah munasabah elaun untuk mereka ditambah,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Datuk Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia, Kampus Utama Bangi, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, elaun atau gaji petugas berkenaan, termasuk yang dilantik secara kontrak, seharusnya setara dengan kadar gaji minimum.
“Seharusnya (elaun) mesti terjurus ke arah sekurang-kurangnya setara gaji minimum.
“Insya-Allah, boleh diselaraskan, kita tunggu pengumuman oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam ucapan belanjawan Jumaat ini,” katanya.