Belanjawan 2024 terbaik, kata Zahid Hamidi

TIMBALAN Perdana Menteri berpendapat Belanjawan 2024 merupakan belanjawan terbaik berbanding mana-mana belanjawan dalam negara setakat ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan pandangan peribadi beliau namun menganggapnya yang terbaik selepas melihat kepada peruntukan dan jumlah subsidi yang tinggi selepas dibandingkan belanjawan lain.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah melakukan perkara yang terbaik untuk negara dalam Belanjawan 2024.

“Bagi saya, secara peribadi dan rasmi, merasakan bahawa peruntukan yang banyak dengan jumlah subsidi tertinggi, RM81 bilion dan kita lihat beberapa kajian perbandingan dengan tidak terlalu melonjakkan nama Perdana Menteri, tapi hakikatnya, apa yang beliau lakukan adalah yang terbaik dalam mana-mana bajet negara
kita setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Agenda AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid menyatakan beliau berpuas hati dengan tumpuan diberikan kerajaan terhadap kementeriannya.

Tambahnya, KKDW akan terus berusaha meningkatkan pendapatan rakyat, terutamanya bagi mereka di kawasan luar bandar.

“Kita melihat dari segi mempertingkatkan pendapatan untuk masyarakat luar bandar, kita lihat bukan hanya usaha-usaha bantuan kebajikan, ramai yang mahu terus supaya mereka itu berada dalam kategori, jadi kumpulan asnaf.

“Apa yang kita tekankan, kita jangan bagi ikan tetapi harus turut memberi kail kepada mereka.

“Dalam hal ini, saya bersyukur pengurusan tertinggi KKDW, pegawai dan juga agensi di bawah KKDW semuanya komited untuk menterjemahkan pelaksanaan program termasuk mempertingkatkan pendapatan penduduk luar bandar,” ujarnya. – astroawani