Umno perlu pemimpin berkualiti, kata TMJ

UMNO disifatkan masih memiliki asas sebagai sebuah parti Melayu yang kuat, tetapi ia memerlukan individu yang berkualiti untuk memimpinnya.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata parti itu perlu ada seseorang yang mampu untuk membawa perubahan berbeza pada masa depan.

“Ia perlu ada seseorang yang mampu membawa dinamik berbeza, yang boleh dikaitkan dengan senario negara ketika ini mahupun masa depan.

“Kalau masih dengan sistem begitu lama macam sekarang, saya tak lihat UMNO akan ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah,” kata baginda ketika menjadi tetamu program podcast Keluar Sekejap malam tadi.

Pada masa sama, baginda juga berharap bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dapat kembali ke pangkuan UMNO bagi memajukan negara.

“Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan,” kata baginda.

Tunku Ismail berkata ketika ditanya rancangannya selepas menjadi Pemangku Raja Johor memandangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari depan.

Sebelum ini, Khairy dipecat keahliannya daripada UMNO atas tindakannya mendakwa ‘UMNO sesat’ ketika kempen PRU15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.

Shahril juga digantung keahliannya.