Hantar 12 wakil rakyat PKR ke Palestin – Dr Akmal

PEMUDA Umno mencadangkan 12 orang wakil rakyat PKR yang tidak bersetuju penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah dihantar ke misi kemanusiaan di Palestin.

Bercakap di Melaka, ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat merealisasikannya bagi memberikan kefahaman sebenar isu konflik itu terhadap pemimpin berkenaan.

“Ini bukan soal unsur keganasan dan elemen dendam seperti yang dinyatakan oleh 12 wakil rakyat ini, sebaliknya ia berkait soal bagaimana kita boleh tingkatkan kesedaran secara terpimpin terhadap konflik Palestin-Israel.

“Pemuda Umno menyokong penuh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menganjurkan program Solidariti Palestin di sekolah dan tidak perlu dibatalkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, sekumpulan tiga Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa Kementerian Pendidikan Malaysian (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Mereka ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Sembilan ADUN terbabit ialah Lee Boon Heng (Kebun Bunga), Chua Wei Kiat (Rawang), Chan Chun Kuang (Semanbu), Wong Chai Yi (Simpang Pulai), Yew Boon Lye (Chuah), Goh Ghoon Aik (Bukit Tambun), David Cheong Kian Yong (Kajang), Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata, modul mengenai isu sebenar yang berlaku di Palestin dan sejarah bagaimana konflik Palestin-Israel ini perlu dididik kepada murid-murid agar mereka dapat memahami dan menjiwai isu ini dengan sebenar-benarnya.