Rombak kabinet bukan untuk lindung Zahid

14 DIS : Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah demi melindungi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata rombakan dan oertukaran portfolio adalah hak mutlak seorang perdana menteri dalam menentukan kekuatan pasukannya.

“Tentunya beliau telah membuat penilaian yang terbaik bagi meneruskan pimpinan berdasarkan respon yang diperolehi daripada rakyat.

“Dalam kerajaan sebelum ini juga ada perubahan dari masa ke masa untuk memantapkan lagi pentadbiran yang ada dan ia tidak ada kaitan dengan politik, seperti yang dispekulasi setengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya sebelum upacara simbolik ‘clock-in’ sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kementeriannya, hari ini.

Zambry yang sebelum ini menjawat sebagai Menteri Luar ditukar portfolio kepada Kementerian Pendidikam Tinggi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang beralih ke Kementerian Pertahanan.

Mengulas soal kementerian baharunya, Zambry berikrar akan meneruskan agenda reformasi pendidikan tinggi yang ditinggalkan menteri terdahulu kerana ia berada di landasan tepat.

Beliau juga akan menggunakan pengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi negara sebaiknya untuk menyantuni warga KPT.

Beliau pernah menjadi pemimpin mahasiswa dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebelum ini.