Sabah belum buat keputusan, kata Rahman

UMNO Sabah belum membuat keputusan mengenai rakan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Demikian maklum Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menerusi satu kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merangkap Ketua Umno Bahagian Tuaran, menerusi pemukiman kepimpinan bahagian negeri telah dipersetujui agar perbincangan awal diadakan dengan semua parti di negeri terbabit.

“Dalam sesi retreat (pemukiman) kepimpinan bahagian bersama barisan kepimpinan tertinggi Umno Malaysia baru-baru ini, keputusan yang telah dipersetujui bersama ialah untuk Umno Sabah mengadakan perbincangan awal dengan semua parti di Sabah.

“Tujuannya ialah untuk melihat, menilai dan menimbang parti mana yang boleh dijadikan rakan kerjasama dalam pilihanraya negeri Sabah yang akan datang.

“Setelah perbincangan awal dengan semua parti selesai dan setelah dipertimbangkan dengan mendalam, barulah satu keputusan rasmi akan dibuat.”

Maklum beliau, buat masa ini, kepimpinan Umno Sabah masih menjalankan perbincangan awal dengan semua parti.

“Ini bermakna belum ada keputusan rasmi mengenai siapa rakan kerjasama Umno Sabah dalam PRN yang akan datang.

“Saya berharap ahli, penyokong dan aktivis Umno Sabah di akar umbi bertenang sehingga ada satu keputusan rasmi mengenai rakan kerjasama UMNO Sabah dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya lagi.