Kami tak tergesa-gesa pilih rakan – Bung

UMNO Sabah lebih mengutamakan langkah untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat sebelum memikirkan soal kerjasama membentuk gabungan dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, antara langkah yang diambil parti adalah dengan mengadakan siri jelajah UMNO Sabah ke seluruh bahagian bermula awal Febuari ini.

Sambil menafikan laporan bahawa Umno Sabah sedang dilanda krisis, Bung berkata soal kekuatan parti terus jadi keutamaan dan siri jelajah berkenaan akan memantau dan melihat sendiri kekuatan dan persediaan parti.

Menurutnya, siri jelajah itu juga akan menjelaskan isu-isu semasa kepada semua ahli di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas isu kerjasama bersama gabungan parti lain bagi menghadapi PRN akan datang selain dikaitkan dengan isu pergolakan UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.