Zahid syor RUU bagi kerajaan habiskan penggal

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar satu rang undang-undang (RUU) khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.

Tambahan pula, kata Ahmad Zahid, sesebuah kerajaan itu dapat dibentuk hanya selepas ia mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas (kemenangan) sesebuah parti itu yang dominan, atau gabungan parti politik itu dominan, dengan mendapat perkenan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

“Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” katanya dalam sidang media pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Kenyataan itu dibuat ketika polemik mengenai keberadaan kerajaan perpaduan terus menjadi perbincangan khususnya selepas muncul dakwaan PN menggerakkan usaha menjatuhkannya.

Dakwaan itu menjadi lebih panas apabila ada pihak mendakwa Agong cuba ditawarkan rasuah sehingga RM1 bilion untuk merestui langkah berkenaan.

Semalam Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengingatkan langkah menukar kerajaan di luar pilihan raya adalah sah mengikut perlembagaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada percaturan politik pihak tertentu.

Jelasnya, rakyat negara ini boleh berbeza pendapat dalam politik namun semua pihak perlu belajar daripada pengalaman lalu dan melihat bagaimana nasib rakyat tergugat disebabkan kemelut yang berlaku.

“Politik sangat pragmatik dan dinamik. Dalam dalam hal ini kita harus praktikal untuk menjaga sebuah negara.

“Kita boleh bermain politik atau berbeza pendapat tetap untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik.

“Cukuplah… belajar daripada pengalaman lalu,” katanya.