Malaysia tubuh RCI bagi Pulau Batu Puteh

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan membolehkan hasil siasatan bersifat lebih terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, biarpun pasukan petugas khas telah menjalankan semakan undang-undang terhadap kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tapi, hasil semakan yang dibuat bukan untuk pengetahuan umum.

Namun, RCI ini bersifat lebih terbuka dan ia akan membantu kerajaan mengetahui proses dan prosedur berkaitan kedaulatan seperti agensi mana yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan.

Adakah Majlis Keselamatan Negara? Kabinet? semua perkara ini perlu diwujudkan. Tapi, kita tidak boleh mengwujudkannya tanpa benar-benar mengekstrak keseluruhan hasil semakan pasukan petugas khas.

“Pasukan petugas khas sudah ada hasil semakan tapi, keputusan yang dibuat oleh pasukan petugas khas itu bukan untuk pengetahuan umum, ia masih di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA),” katanya selepas merasmikan Program Mahkamah Bergerak di Kampung Madsiang, hari ini.

Beliau berkata demikian di Penampang, Sabah semasa mengulas mengenai penubuhan RCI bagi kes kedaulatan Batu Puteh.

Azalina berkata, penubuhan RCI adalah sebagai susulan kepada hasil semakan undang-undang yang dilakukan oleh pasukan petugas khas. Melalui RCI, ia membolehkan siasatan lebih lanjut dilakukan.

Menurut beliau, Perdana Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara. Apa yang berlaku terhadap Batu Puteh tidak harus berlaku terhadap pulau lain yang berada di bawah kawalan negara ini.

“Perdana Menteri adalah seseorang yang mahu melihat kedaulatan menjadi perbicaraan utama rakyat Malaysia. Jadi, berada dalam kerajaan, kita kena berlaku adil, kita perlu persoalkan apa yang telah berlaku, dimana kesilapan yang berlaku.

“Isu sekarang adalah kita perlu menilai apa sebenarnya yang berlaku. Itu sebabnya pada sidang Parlimen akan datang, kita akan bawa Rang Undang-Undang berkaitan Akta Imuniti.

“Perkara berkaitan kedaulatan tidak boleh diputuskan oleh seorang individu sahaja, tidak boleh ada kesilapan.
“Apa yang berlaku terhadap tuntutan Sulu juga adalah perkara yang kita kena ambil pengajaran. Kita tidak boleh membuat kesilapan berkaitan kedaulatan..ia mengenai sempadan dan juga pulau,” katanya.

Azalina berkata, dalam isu tuntutan Sulu juga begitu, kerajaan terdahulu melakukan kesilapan dan itu sebabnya kestabilan negara itu penting bagi menentang tuntutan daripada pihak luar.