UMNO sokong penuh ketegasan Dr Akmal Saleh

UMNO hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh yang lantang mempertahankan kalimah Allah daripada dipersendakan oleh pihak tertentu.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sekali gus mendapat sokongan penuh semua ahli.

“Seluruh ahli MKT menyokong penuh pendirian Pemuda UMNO berkenaan isu kalimah ALLAH di stoking.

“UMNO terus kekal teguh dengan pendirian mempertahankan kesucian agama Islam dan perkara itu sememangnya matlamat perjuangan UMNO,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan segelintir menteri Kabinet yang menegur sikap agresif Ketua Pemuda UMNO berkaitan isu berkenaan, Asyraf Wajdi menegaskan, perbuatan tersebut tidak menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau menjelaskan, UMNO sebelum ini sudah meletakkan empat syarat penting yang perlu dipatuhi ketika membentuk kerajaan.