BN tak tuntut kerusi DUN Kuala Kubu Bharu

UMNO tidak akan menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dan ia dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan pihaknya akan memberi laluan kepada parti komponen penyandang dalam kerajaan untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO perlu menghormati kerusi tersebut walaupun pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu meningkat kira-kira 50 peratus.

“Kita mengetahui bahawa DUN di Selangor iaitu Kuala Kubu Baharu kosong disebabkan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) meninggal dunia.

“Kami merasakan bahawa walaupun jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu meningkat mencecah kira-kira 50 peratus demi menghormati Kerajaan Madani yang ada saya merasakan rakan dalam UMNO dan komponen BN harus menghormati kerusi itu kepunyaan rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan.

“Siapa sahaja yang akan dicalonkan pengerusi Kerajaan Perpaduan jentera UMNO bukan sahaja dari Selangor tapi saya yakin jentera BN terutamanya MCA akan bersama dengan UMNO untuk turun membantu kempen calon berkenaan biar pun tarikh PRK belum ditentukan,” katanya.

ADUN Kuala Kubu, Lee Kee Hiong, 58, meninggal dunia minggu lalu.