Hamzah memang kuat berbohong, kata Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai seorang kuman atau parasit, lapor wartawan Sinar Harian, Asyikin Asmin.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia susulan satu video yang diterimanya melibatkan seorang penceramah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Semalam, saya melihat satu video oleh seorang penceramah yang menjadi kuman, parasit di mana dia katakan bahawa saya menawarkan dia menjadi Setiausaha Agung Umno kalau dia sokong saya menjadi Presiden Umno pada 2018.

“Saya ingin beritahu orang itu bahawa tidak ada tawaran untuk dia menjadi Setiausaha Agung apatah lagi menjunjung al-Quran. Saya nasihatkan dia supaya cepat-cepat bertaubat, jangan setiap kali ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) membohong, menipu bawa isu itu dan ini.

“Saya kenal dia dari zaman muda kuat membohong, malangnya dia menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen sekarang.

“Saya harap dia tidak membohonglah apabila berhujah di Parlimen kerana pengalaman saya dari muda sampai tua, bercucu ini tak habis-habis kerjanya membohong, cukuplah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di Kota Kinabalu, semalam.

Ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, semalam, Hamzah dilaporkan mendakwa ditawarkan Ahmad Zahid untuk menjadi Setiausaha Agung Umno jika menyokongnya untuk menjadi presiden pada pemilihan 2018.