UMNO sambut ulang tahun ke-78 hari ini

ULANG tahun kelahiran UMNO pada kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan diraikan secara serentak di seluruh negara.

Di peringkat pusat, UMNO akan melaksanakan sambutan ulang tahunnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjemput orang ramai untuk hadir bersama-sama.

“Saya mewakili saf kepimpinan UMNO dengan penuh rasa hormat menjemput semua hadir ke Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat bersempena sambutan Ulang-Tahun UMNO ini,” katanya.

Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Diadakan seawal jam 6.30 petang, acara sambutan ini akan bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat dan seterusnya ucapan Amanat Presiden sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia kemudian disusuli dengan solat Isyak secara berjemaah dan jamuan makan malam sebelum bersurai.